Abdullah Mahu Lebih Banyak Industri Asas Tani Tumbuh Di Selangor

KUALA SELANGOR, 17 Dis (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau mahu melihat lebih banyak lagi kilang dan perusahaan yang memproses bahan asas tani dibangunkan di Selangor, sebuah negeri yang telah maju dalam sektor perkilangan.

“Selangor adalah sebuah negeri yang cukup aktif menjayakan pertanian seperti dalam industri asas tani dan juga herba,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan kilang keli salai milik MAIS Food Industries Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.

Ketika ini MAIS Food menghasilkan satu tan produk keli salai dalam sehari dengan keuntungan RM20,000 sehari daripada kilang yang dibangunkan dengan kos RM2.5 juta.

Keli salai ini dipasarkan dalam pek seberat 500 gram dengan jenama Al-Misbah dan mempunyai perasa seperti sos teriyaki, sos lada hitam, sambal, kari pedas dan tom yam pedas.

Abdullah berkata penghasilan keli salai yang bermutu dan dipastikan daripada segi kebersihan merupakan produk tersendiri dan tidak mudah ditiru selain mendapat pasaran yang baik di dalam negara dan juga telah dipasarkan di Taiwan.

Beliau berharap keli salai akan menjadi produk industri asas tani yang berjaya dan berdaya maju dan tidak menerima nasib seperti keli segar yang harganya di pasaran menurun kerana lebihan bekalan kerana ramai yang mengusahakannya berikutan harganya yang tinggi suatu masa dulu.

Beliau mengimbas kembali perbincangannya dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun lepas mengenai kemajuan penternakan ikan keli dengan beliau dimaklumkan bahawa keli tidak laku dan harganya rendah kerana terlalu banyak di pasaran dan diternak tidak mengikut amalan yang terbaik.

Abdullah berkata pada masa itu beliau telah memberitahu Dr Mohamad Khir supaya mencari kaedah lain untuk meningkatkan kembali harga ikan keli dengan menambah nilai seperti mengeluarkan keli salai.

Perdana Menteri berkata:” (Dr Mohamad) Khir menjawab, saya pasti dapat lakukannya dan beliau (Dr Mohamad Khir) tidak pernah mengecewakan saya…dia tak pernah gagal.”

Katanya dengan adanya perusahaan keli salai, ia akan memberi semangat kepada pengusaha ternakan itu kerana produk itu mempunyai pasaran yang terjamin dengan membekalkannya kepada kilang dengan harga yang wajar dan tidak lagi terlalu bergantung kepada pasar dan pasar tani di tempat mereka.

MAIS Food telah mengadakan perjanjian dengan beberapa pertubuhan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor dan Persatuan Penternak Ikan Keli Meru bagi mendapatkan bekalan ikan keli.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu mempunyai sikap inovatif dalam menambah nilai kepada produk-produk pertanian mereka yang merupakan salah satu misi nasional.

Katanya rakyat Malaysia terutamanya di luar bandar mempunyai kemampuan untuk menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan mereka bagi meningkatkan pendapatan dan mencari sumber kekayaan baru.

“Sebagai contoh ubi kayu kini merupakan bahan mentah yang popular bagi perusahaan kerepek dan kini para pengusaha kerepek ubi terpaksa keluar jauh dari kilang mereka untuk mencari bekalan di Malaysia,” katanya.

Abdullah bersama isterinya Datin Paduka Seri Jeanne Abdullah juga melawat pusat pemprosesan dan pembungkusan udang harimau milik JW Aquaculture Sdn Bhd di Assam Jawa di sini.

Pusat pemprosesan itu yang mempunyai 79 kolam di tapak seluas 61 hektar merupakan antara ladang ternakan udang bersepadu yang berjaya dan menggunakan amalan terbaik.

Abdullah berkata bahawa selain memastikan kebersihan dalam operasinya, ladang itu mempunyai makmal untuk melakukan uji kaji dan memastikan udang yang dieskport tidak menghadapi masalah seperti jangkitan kuman.

Hasil ternakan udang syarikat ini yang dianggarkan mencecah 2,000 tan pada tahun ini telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

Dipetik dari BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: