Graduan tidak kesal ceburi ternak ikan keli

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

<!– –>

PORT DICKSON 8 Mei – Jika kebanyakan graduan institut pengajian tinggi lebih gemar memilih kerjaya mengikut kelulusan atau setidak-tidaknya bekerja di pejabat yang berhawa dingin, namun Engku Nuzul Liza Engku A. Rahman, 25, mempunyai pendirian berbeza.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) Politeknik Port Dickson itu memilih untuk memulakan ternakan ikan air tawar di Kampung Sungai Sunggala di sini sejak setahun yang lepas.

Menurut Engku Nuzul, beliau tidak menyesal walaupun bidang yang diceburinya itu jauh berbeza daripada pendidikan akademik yang diperoleh.

“Bergelar usahawan adalah satu cabaran untuk saya, selain itu saya tidak suka bekerja secara rutin iaitu mengikut jadual di pejabat.

“Lagipun saya cuma ingin menyahut hasrat kerajaan yang kini ingin melihat lebih banyak golongan belia terutama graduan menjalankan projek pertanian dan berdikari,” katanya ketika dikunjungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat di sini kelmarin.

Tambah Engku Nuzul, pada masa ini syarikatnya, Nuzul Clarich Enterprise menternak 30,000 ekor ikan dalam 15 buah kolam melibatkan modal sebanyak RM190,000.

“Sehingga kini kolam-kolam tersebut mampu mengeluarkan hasil lima tan metrik sebulan dan berharap dapat meningkatkan hasil tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya.

Ujar beliau, selain membekalkan ikan keli segar, syarikatnya juga mengeluarkan ikan keli salai sebagai langkah untuk mempelbagaikan produknya.

“Saya berharap untuk mempergunakan segala pengetahuan yang ditimba daripada jabatan perikanan sebelum ini secepat mungkin demi merealisasikan impian bergelar usahawan tani berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” tambahnya.

Perancangan masa depan, kata beliau, adalah mengusahakan pembiakan anak benih, menghasilkan produk sampingan seperti bebola ikan, keropok lekor dan cip ikan.

Pada masa yang sama, Yunus ketika ditemu bual memberitahu bahawa kerajaan negeri senantiasa menggalakkan golongan belia terutama graduan universiti untuk menceburi bidang pertanian yang turut menjanjikan pulangan pendapatan lumayan.

“Pihak kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk pinjaman kewangan dan geran serta latihan berkaitan untuk membantu mereka yang berminat menceburi bidang tersebut. Para belia seharusnya merebut peluang ini sebaik mungkin.

“Pada masa yang sama usahawan tersebut perlu lebih kreatif dan melihat peluang baru untuk diterokai memandangkan bidang pertanian kini menjadi tumpuan kerajaan,” katanya.

Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: