Lebih Omega 3 daripada ikan keli

KOTA BHARU: Jika anda penggemar ikan air tawar, ikan keli mungkin menjadi salah satu pilihan utama dalam menu harian anda.

Kini di pasaran terdapat sejenis ikan keli yang diberi nama ikan keli Omega 3 yang mengandungi asid lemak Omega 3 lebih banyak daripada ikan keli biasa.

Pengurus Operasi Kumpulan Siswazah Perikanan, Nik Mohd Firdaus Nik Daud berkata, bagi ikan keli biasa, kandungan Omega 3 hanya 0.02 peratus sahaja jika dibandingkan dengan ikan keli Omega 3 yang mengandungi 2.3 hingga 2.5 peratus asid lemak tersebut.

“Ikan keli Omega 3 ini berbeza kerana kami membuat sendiri makanannya dengan menggunakan rumusan khusus yang mengandungi tepung ikan, tepung kanji, kacang soya, minyak ikan, campuran vitamin, mineral dan minyak sawit,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Nik Mohd Firdaus berkata, setakat ini Kumpulan Siswazah Perikanan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam membuat kajian mempertingkatkan kualiti bahan makanan ikan keli Omega 3.

Ikan itu kini dibiakkan di pusat pembiakan ikan keli di Bukit Belah, Machang dekat sini.

Ikan Keli Omega 3 mempunyai kandungan asid lemak Omega 3 yang tinggi yang datang dari sumber makanan ikan iaitu fitoplankton.

Menurut Nik Mohd Firdaus, asid lemak Omega 3 banyak terdapat dalam minyak walnut, plankton marin dan ikan yang berlemak.

“Kebaikan asid lemak Omega 3 ialah ia dapat mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung. Minyak ikan yang terdapat di dalam ikan keli Omega 3 itu dapat mengurangkan ketidakstabilan denyutan jantung,” kata beliau.

Dengan itu, asid lemak ini boleh mengurangkan risiko kematian kerana sakit jantung, jelas Nik Mohd Firdaus lagi.

Ia juga dapat mengurangkan pembekuan darah iaitu punca utama sakit jantung dan mengurangkan kandungan kolesterol di dalam badan.

Selain itu ikan keli Omega 3 juga baik untuk pertumbuhan otak dan pembesaran kanakkanak, kerana kandungan DHA yang terdapat di dalamnya.

“Ini kerana otak manusia biasanya memerlukan lebih daripada 20 gm DHA. Tahap DHA yang rendah berkait rapat dengan paras serotonin rendah yang boleh mengakibatkan tekanan jiwa,” kata Nik Mohd Firdaus.

Oleh itu pengambilan Omega 3 yang terdapat di dalam ikan keli ini mempunyai banyak kebaikan.

Ternakan dalam kanvas

Ikan keli Omega 3 ini diternak melalui kaedah ternakan di dalam kanvas yang mana ia merupakan satu kaedah baru yang dihasilkan oleh Kumpulan Siswazah Perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Kelantan.

Teknologi ternakan ikan keli ini berkonsepkan pengurusan yang mudah, murah dan dilihat mampu memberikan pulangan yang baik kepada penternak.

Setakat ini Kelantan merupakan perintis bagi ternakan ikan keli dalam kanvas dan ia merupakan produk pertama yang seumpamanya yang dihasilkan di Malaysia.

Kaedah ternakan ini hanya mengambil tempoh selama 90 hari sahaja untuk proses pembesaran sebelum ia boleh dipasarkan.

Kaedah ternakan berkonsepkan kanvas ini bakal membuka lembaran baru dalam bidang pemasaran ikan keli di negara, kata Nik Mohd Firdaus.

Harga lebih mahal

Dari segi pemasaran, harga ikan keli Omega 3 ini mahal sedikit jika dibandingkan dengan harga ikan keli yang biasa, namun kualitinya terjamin.

Nik Mohd Firdaus menjelaskan, jika dibandingkan dengan ikan keli biasa yang terdapat di pasaran, ia belum tentu terjamin kualitinya terutama dari segi pemakanan kerana terdapat pengusaha ikan keli yang menggunakan bahan terlarang.

Harga di pasaran bagi ikan keli Omega 3 ini bagi harga borong ialah RM3 satu kg manakala harga runcit pula ialah RM6 setiap kg.

Kini, pelbagai produk yang berasaskan ikan keli Omega 3 telah dihasilkan seperti sardin, serunding dan bebola ikan. BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: